Tiada isteri yang mampu bersabar sekiranya melihat suami tercinta menjadi mangsa keganasan individu tidak bertanggungjawab.

Hakikat itu perlu ditelan isteri kepada seorang pengadil yang dikasari salah seorang pemain futsal dalam satu kejohanan di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut satu hantaran yang tular di media sosial pada ketika ini, Nnies Adniza meluahkan rasa kecewanya melihat suaminya diperlakukan sedemikian rupa.

Semuanya terjadi selepas pengadil tersebut melayangkan kad merah kepada penjaga gol pasukan Fussa Futsal Club ekoran kekasaran yang dilakukannya terhadap pemain Salai FC.

Namun, tanpa disangka-sangka datang seorang lagi pemain Fussa yang berang dengan keputusan itu lalu melakukan tendangan ‘ong bak’ menggunakan lutut terhadap pengadil tersebut.

Keadaan itu jelas menimbulkan kemarahan isteri pengadil tersebut sehingga meluahkan isi hatinya menerusi satu hantaran di Facebook yang mencuri perhatian warga maya.

“Ada seribu Rasa ingin di luah tapi kami berserah pada pihak lebih berkuasa untuk jatuh hukuman bukan kami takut untuk melawan tapi kami ada adab.’’

”Ya Allah hancur hati seorang isteri, seorang anak apabila ketua keluarga diperlakukan begitu.’’

“Apa hak ‘ko’ nak tendang orang yang mencari rezeki. ‘Ko’ dah salah tapi kau rasa hebat sangat jadi sekarang ‘ko’ hadap ‘la ye’ lepas ni apa sahaja hukumannya.’’

“Di sebabkan dah viral jadi kita viralkan lagi. Nak sangat jadi ‘pemes’ kan dengan cara kurang ajar ‘ko’.’’

“Doa orang teraniaya akan termakbul insya Allah. Setakat pemain futsal tapi lagak ‘ko’ macam pemain terkenal dengan alasan bodoh ‘ko’ minta maaf dengan sebab takde mood emosi tak boleh kawal, jadi suka ko la nak tendang orang,’’ tambah beliau lagi.

Insiden yang tular itu kemudiannya membuatkan Fussa Futsal Club memohon maaf atas ketelanjuran salah seorang pemain mereka dan mengakui tindakan tegas telah diambil.

Permohonan maaf itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi negatif daripada para warga maya.